Monday, August 18, 2008

Mengapa Perlu Berkahwin???


1. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia,
nanti banyak sangat komitmen.
2. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?
3. Sanggupkah saya mengorbankan usia muda
saya dengan perkahwinan?
Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang
berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita
atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup
akibat dari latar belakang keluarga yang tidak harmoni.
Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau
memberikan komitmen dalam perkahwinan.
Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang
bekerjaya profesional, hidup mewahtidak mahu
berkahwin.Terutamanya apabila yang sudah
mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya
hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki atau
perempuan.
Mengapa Perlu Berkahwin ?
Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya
mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan
juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin
samada takut, risau, serta alasan yang lain.
(Kecuali mereka yang mempunyai penyakit
yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan
kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta.
Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat,
tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri,
mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri
atau suami.
Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut
seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh Allah.
Manusia mempunyai keinginan dan kehendak
terutamanya di dalam persoalan seksual.
Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan
sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi
memenuhi tuntutan tersebut.
Dari Abi Samrah r.a menyatakan :
Nabi melarang daripada hidup membujang.
(Riwayat at Tirmidzi)


Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :
"Rasulullah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un
untuk hidup membujang. Kalaulah Rasulullah membenarkannya
nescaya kami akan mengembiri".
(Riwayat Muslim)
Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang
mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan
yang dimurkai ALLAH.
Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka
tidak dapat membendung keinginan serta
menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan
wanita.
Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir
yang tidak elok.Akhirnya ada yang telah
menghampiri kepada zina serta menjerumuskan
diri di dalamnya.Anak-anak luar nikah dikandungnya,
ada yang dibunuh,dibuang, dan juga dibela.
Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela
anak angkat. Sayangnya di dalam Islam,
anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya.
Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian
dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak
kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.
Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang
soleh dan berkualiti
Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat".
(Riwayat Abu Daud)
Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk
institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat
Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti.
Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina.
Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak
mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka.
Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan
dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat
sekeliling dan manusia keseluruhannya.
Jiwa tenang dengan jalan pernikahan
Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan
dan ketenteraman.
Firman ALLAH ta'ala yang bererti :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan
dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu
(wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri
supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang
dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan
(yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir".
(Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan
fikiran dan hatinya tidak berasa tenang,
tiada teman untuk dikongsi masalah?
Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki
dan wanita melalui jalan perkahwinan?
Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah
yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran,
perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa
kepada perasaan malu dan pesimis.
Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan
membina prinsip kerjasama.
Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup
buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan
kematangan dalam pengurusan hidup. Solat
bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga
berseorangan.
Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang
ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu
Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai
khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal
istilah suami dan isteri,ibu dan bapa serta anak.
Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang
menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq,
khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah
dan sebagainya.
Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri
bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan
sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam
solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan
pendokong kepada suaminya di kala susah dan
senang.Isteri akan membantu suami di dalam
urusan seharian, makan pakainya, tempat
tinggal dan anak-anak.
Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki
yang halal, mempertahankan, melindungi dan
memelihara kehormatan isteri. Dengan jalan halal
yang telah digariskan oleh Islam, daerah
persaudaraan akan semakin meluas.
Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga
yang telah disatukan di atas jalan ini.
Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling
berkasih sayang antara satu dengan yang lain.
Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan
dapat menjamin kesejahteraan masyarakat,
menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta
pengekalan keturunan manusia.
"Dan kahwinilah orang-orang bujang
(lelaki dan perempuan) di antara kamu,
dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu,
lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin,
ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka
dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas
(rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".
(An Nur : 32)
Antara sumber ambilan : Dr Mutofa Al Khin, Dr Mustofa al Bugho, Ali Asy Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie (Bersuci dan Sembahyang) Pustaka Salam, 2005

No comments: